Pengamal silat mesti berasaskan syariah, akidah
Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
PAHLAWAN terkemuka di kalangan sahabat Rasulullah SAW yang berjuang menentang musyrikin Quraisy dan penentang ajaran Islam daripada orang munafik memang wujud dalam sejarah Islam. Antaranya, Saidina Ali, Khalid Ibnu Walid, Amru Al-As, Abu Ubaidah Al-Jarrah dan Saad Abi Waqas.
Dalam al-Quran juga banyak ayat yang menunjukkan bahawa umat Islam perlu mempersiapkan diri dan kelengkapan senjata untuk mempertahan diri, agama dan bangsa.
Pada masa sama, Islam sangat menitikberatkan soal akidah dan syariah menyebabkan semua amalan atau kepercayaan yang tidak berlandaskan sumber berasal daripada al-Quran, hadis, ijmak dan qias akan ditolak.
Kepercayaan dan amalan tertentu dalam masyarakat Islam di Malaysia mempunyai hubung kait dengan pengaruh animisme, Hindu, Buddha dan Syiah. Sebahagian amalan atau kepercayaan itu sudah berdarah daging seperti dalam seni mempertahan diri tradisional Melayu, iaitu silat.
Dalam persilatan, ada beberapa syarat yang perlu dipatuhi sama ada ketika masuk silat, selepas masuk atau ketika tamat menuntut ilmu persilatan antaranya menyediakan pengeras seperti pulut kuning, limau purut, kain putih dan bayaran pengeras.
Murid juga disyaratkan mandi dengan mandian tertentu sebagai lambang membersih segala kekotoran zahir dan batin. Syarat lain ialah tidak boleh meninggalkan sembahyang.
Jabatan Agama Islam Perak menyediakan garis panduan kepada orang Islam, khususnya mereka yang terbabit dalam silat supaya terhindar daripada amalan bertentangan dengan akidah dan syariat Islam sebenar.
Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu menyembah apa-apa yang tidak memberi manfaat dan tidak (pula) memberi mudarat kepada kamu selain Allah: sebab jika kamu berbuat (yang demikian) itu, maka sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang zalim.” (Surah Yunus, ayat 106)
Garis panduan itu meliputi asal-usul silat, syarat silat, peranan guru dan tingkah-laku murid serta pergerakan seni silat.
Guru tidak boleh mendakwa silat mereka bersumberkan Nabi Muhamad SAW, anbia atau diambil daripada al-Quran dan hadis atau berasal daripada amalan sahabat nabi. Guru juga tidak boleh mengatakan kaedah atau pergerakan silat mereka berasal daripada ibadat tertentu seperti rukun dalam sembahyang.
Mereka juga tidak sepatutnya mendakwa seni silat mereka bersumberkan mimpi bertemu Rasulullah SAW atau anbia atau sahabat atau ulama. Dari aspek syarat silat, supaya tidak bercanggah dengan ajaran Islam, semua perkara yang wajib dilakukan atau ditinggalkan oleh seorang Islam yang mukalaf tidak boleh dijadikan syarat.
Antaranya murid diwajibkan bersembahyang, berpuasa dan tidak derhaka kepada ibu bapa sehingga mendatangkan anggapan bahawa perkara wajib itu menjadi wajib hanya selepas dijadikan syarat silat. Pengamal silat juga tidak boleh mengaitkan sesuatu pengeras dengan satu akibat yang dipercayai boleh merosakkan pegangan akidah.
Murid silat pula tidak boleh percaya kepada sial seperti mandi membuang sial atau mandi tertentu yang dikaitkan dengan persilatan.
Pengamal silat juga tidak boleh melakukan gerak silat atau bacaan tertentu yang mengandungi unsur meminta izin atau bantuan kuasa ghaib dalam gerak membuka atau menutup gelanggang, ayat kebal atau pukulan angin maut atau sembelih ayam dalam gelanggang.
Pesilat juga tidak boleh disyaratkan mentaati guru atau seseorang, perkara yang jelas bercanggah dengan akidah dan syariat Islam. Guru memainkan peranan penting dalam menyampaikan ilmu untuk menjamin kesahihan serta kesempurnaan persilatan.
Guru silat beragama Islam tidak boleh melakukan perkara syirik sama ada melalui perkataan, perbuatan atau iktikad. Mereka tidak sepatutnya melakukan maksiat, jenayah atau perbuatan yang bertentangan dengan moral dan memecah-belah masyarakat.
Guru silat juga tidak boleh mentafsir ajaran Islam mengikut hawa nafsu sendiri. Mereka dilarang memasukkan unsur yang bercanggah dengan Islam seperti sihir dan ilmu kebal dalam persilatan.
Guru silat yang hendak membabitkan diri dengan hal agama hendaklah mengetahui asas Islam sama ada fardu ain dan fardu kifayah seperti Rukun Islam, Rukun Iman, cara mengerjakan solat dan sebagainya.
Dari segi pergerakan, langkah silat tidak boleh dikaitkan dengan zat Allah dan sifat-Nya atau maksud di sebalik kalimah, nama Allah atau sifatnya. Gerak silat juga tidak boleh diertikan sebagai maksud tersirat daripada diri, jasad Rasulullah SAW, malaikat, nabi atau orang soleh.
Langkah pesilat pula tidak boleh dimaksudkan dengan perkara berkaitan ajaran Islam seperti dua kalimah syahadah dan solat.
Dari aspek amalan pesilat, mereka tidak boleh memuja dan menghambakan diri kepada kuasa atau peribadi yang boleh mendatangkan nasib baik atau buruk seperti hantu, dewa, keramat, kubur, keris dan busut.
Pengamal silat tidak boleh menggunakan tangkal, azimat yang mengandungi rajah atau tulisan yang tidak difahami, objek tertentu dan bercampur-aduk dengan ayat al-Quran.
Pesilat juga tidak boleh mengamalkan bacaan yang tidak difahami kerana dikhuatiri mengandungi pemujaan kepada berhala, iblis, syaitan atau nama berhala orang kafir dan bercampur-aduk dengan ayat al-Quran.
Dengan garis panduan itu, Jabatan Agama Islam Perak mengharapkan pengamal seni mempertahan diri dapat menghindarkan diri menyimpang daripada ajaran Islam sebenarnya.